Wednesday, 10 June 2015

PeNgHaRGaaN SebenaR

Catatan: Mohd Asri Redha
Tarikh: 06 Jun 2015
Tempat: Serdang, Daerah Bandar Baharu, Kedah.

Assalaamualaikum WRT.... buat pembaca-pembaca blog saya sekalian... Terima kasih kerana masih suka mengikuti dan membaca apa yang tertulis dalam blog saya ini..... agak lama juga saya tidak tulis blog .. sebenarnya bukan lama, dah ada saya buat tapi sengaja saya tidak paparkan lagi, nak edit bagi elok sikit... nanti ayat tu tak berapa sedap baca dan tulisan pun agak kelam kabut.....

Untuk catatan kali ini saya nak ulas apa yaa. Hanya sekadar saya copy balik apa yang saya dapat dari FB berkaitan saya yang saya rasa wajar saya rekod dan simpan sebagai kenangan saya.... Kadang-kadang kalau kita tidak rekod dan simpan,... lama-lama boleh lupa dan berlalu begitu sahaja. Bila direkodkan sebegini, bagus juga..... Tua-tua nanti kalau umur panjang boleh juga kita imbas kembali zaman kita dulu2.. Atau sekurang-kurang anak cucu kita boleh juga dok tengok apa kita buat semasa hayat kita...  Jadi saya tak mau ulas apa-apa.. Terpulang pada pembaca nak buat apa-apa penilaian. Saya harap ia tidak dianggap sebagai nak menunjuk-nunjuk.. nanti jadi riak.. riak ni bahaya... dalam ibadat kita kalau kita ada sifat riak.. penat sahaja ibadat kita tu.. tak dapat pahala apa-apa.

Apa yang saya tunjukkan in hanya sekadar secebis kisah santai-santai dengan dunia teknologi it yang semakin canggih... dulu tak ada fb, Whatsapp, twitter , line dan sebagainya.. sekarang ni dah ada, jadi kita gunakanlah sahaja untuk kebaikan kita bersama.. Jangan kita gunakan untuk kata mengata, maki memaki dan tuduh menuduh...  Apa yang kita dapat kalau dok buat kerja-kerja sebegitu.. puaskah, bahagiakah.. senang hatikah.. legakah.. dan seumpama itu.. Rasanya tidak kut.. malahan membawa lagi kesakitan pada jiwa dan perasaan kita...

Sebab itu saya tak kisah sangat kalau dalam FB dia dok tunjuk benda makan, tunjuk apa dia buat, tunjuk apa dia makan, tunjuk kejayaan anak, tunjuk tidor dihotel mahal, tunjuk apa yang dia beli, tunjuk apa yang dia ada kat rumah, tunjuk apa yang dimiliki, tunjuk apa-apa sahaja asalkan tidak menjatuhkan maruah orang, tidak menimbulkan kemarahan orang, tidak memalukan orang,   dan seumpama itu.. tunjuk lah apa sahaja yang dia nak tunjuk dalam FB.. ada saya kisah.. saya tak kisah...

Nak lagi syok kita tumpang syok sama tengok dia seronok dan bahagia dengan kehidupannya.. kan bagus begitu.. kita bagi ucapan tahniah, kita sokong usahanya dengan kata-kata yang bagus-bagus, kita dorong ia dengan doa , kita peringatkan ia selalu... dan hal2 yang seumpama itu.... tak susah kan untuk buat begitu.. Bila kita buat begitu .. apa rasa kita.. adakah kita rasa bahagia atau kita rasa tidak bahagia.. fikir-fikirkan lah.. Tentu kita rasa lega, rasa puas, rasa gembira bila kita memberi tahniah, memberi dorongan, memberi sokongan , memberi sedekah dan sebagainya.  Jangan pula kita jelous atau cemburu tak tentu fasal atau marah tak tentu fasal  bila melihat benda-benda yang tak ada apa-apa pun yang perlu dicemburukan atau dimarahkan... Kalau itu timbul dalam hati dan perasaan kita.. itu maknanya kita sakit.. ada sesuatu yang tidak kena dalam dalam diri kita.

Yang saya tak tahannya bila tengok dan baca dalam media-media moden ni.. kes dok mengata, memaki, mencarut, mengeji, mengejek, mengumpat dan segala macam gambar edit yang tidak betul dan kata-kata yang seumpama itu.. Itu yang saya takut sekali... Perkara-perkara ini boleh membawa kita kepada melakukan dosa besar, malahan kadang-kadang boleh tergelincir akidah agama kita... sebab itu berhati-hatilah..  Kata-kata yang tidak sesuai sedikit sebanyak telah merenggangkan hubungan baik sesama insan, tak fasal-fasal orang yang baca tulisan kita benci pada sipolan-sipolan tertentu. Bukan tentunya ada betul atau tidak betul.. tapi kita telah mengujudkan persepsi yang kuat hingga orang boleh percaya benda itu betul.... maka tanggunglah akibat daripada perbuatan kita itu.... kita terhutang kepada orang yang kita fitnah dan kita terhutang kepada Allah SWT...  Memang saya pun kadang-kadang timbul juga rasa tidak puas hati pada seseorang itu, tapi kalau diluar kemampuan kita tak usahlah kita panjangkan dalam media-media moden seperti ini... cukuplah sekadar berdoa dalam hati agar jika betul anggapan kita itu, Allah SWT dapat menyedarkannya supaya kembali membaiki kesilapan atau kembali kejalan yang diredhai Allah SWT.. Itu lebih baik dan kita tidak buat dosa dengan sesiapa...

Petikan2 dari FB ini sebenarnya bukan saya yang cerita ini semua.. dia timbul sendiri tanpa sapa suruh.. Memang ada gambar-gambar sebelum ada saya masukkan seperti pergi melawat projek, mesin rumput dan sebagainya tapi tak la pula diulas sebegini panjang.... Agaknya orang hairan kut... sedangkan pada saya kerja-kerja seperti ini biasa sahaja... dulu , kini dan selamanya.. saya macam ini lah.. tak ada apa bezanya cara dan sifat  walau setinggi mana pangkat, kekayaan dan kuasa kita... itu semua hanya perhiasan dunia sahaja... tak kemana pun kalau kita dok bangga-banggakan sangat...

Namun begitu melalui ruangan ini saya mengucapkan terima kasih, pada yang prihatin dengan usaha buat kita semua.. Kata-kata seperti itu sebenarnya memeri semangat kepada saya dan anak-anak buah saya untuk bertugas dengan lebih baik lagi.. Tapi jangan lah dok boh lagi kat FB aktiviti-aktiviti seperti ini dan dok puji pula,  naik segan dan malu pula... Benda-benda seperti ini memang dok selalu buat, dan anggap ini sebagai satu tanggung jawab sebagai seorang penjawat awam yang dibayar gaji dan juga sebaga Hamba Allah yang menumpang hidup dibumi Allah ini.

Rezeki yang Allah SWT berikan sekarang inipun saya terlalu amat bersyukur.... Kita jangan banding dengan orang lebih tinggi dari diri kita tapi banding dengan orang lebih bawah dari diri kita.. baru kita akan terasa keinsafan yang amat sangat... Kalau tak insaf lagi.. tak apalah nak kata  apa  lagi..... Hanya Allah SWT sahaja yang maha mengetahui akan hamba-hamba NYA.. Kalau kalau kita nak banding dengan orang lebih tinggi, kita tengok ilmunya.. Kalau ilmu nya lebih tinggi kita patut jelous dan usaha untuk mencapai taraf orang itu.. itu tak apa...kita cemburu dengan ketinggian ilmunya yang bermanafaat.

Saya rasa itu sahaja celoteh-celoteh saya malam ni.. sambil dok tengok cerita drama melayu 'Isteri Luar Biasa' sambil tu jari tangan ni dok patuk  punat-punat computer ni bergerak menyusun huruf2 menjadi ayat yang boleh difahami.. Ayat pun dah jadi tunggang-langgang.. Tak kira lah , janji boleh difahami. Kalau nak tulis dalam peperiksaan macam ni, comfirm tak lulus..... Tengok pi la drama-drama melayu la ni .. bagi sokongan pada penerbit kita... Seronok juga .. tapi itulah ...macam trend pula sejak  kebelakangan ini semuanya berkisar... bini tak suka kat laki, , tapi kahwin juga.. meluat tak sangka kat laki... tapi akhir sekali sayang gila pula kat laki.... donia-donia.....

Ketemu lagi ya.....Maafkan saya jika ada tersilap kata kat sapa2 yang boleh menyinggong hati dan perasaan sapa-sapa...

Mohd Asri Redha...































PBT Kedah Boleh.... 4 bintang atau 5 bintang, MDBB boleh...

Catatan.. Mohd asri Redha
Tarikh... 10 Jun 2015
Tempat..Park Avenue Hotel, Sg. Petani

Assalaamualaikum WRT.. Selamat pagi  buat sahabat2 semua...  masih mengikuti celoteh saya dalam blog ini... terima kasih saudara2 semua.  Seminggu dua ni banyak aktiviti berlaku melibatkan diri saya.. Sudah tentu  banyak cerita saya boleh tulis dan beri komen tentang setiap aktiviti yg berlaku... biasa la komen2 tu kadang2 terkena batang hidong sendiri, terkena pada sesiapa sahaja.. tp bukan mengumpat dan menghina.. semuanya hanya untuk kebaikan saya dan kita juga... bagi yang mengerti dan memahami...



Aktiviti saya hari ini ialah mengikuti  Bengkel Pencerahan Indikator Baru Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan 2015  Zon Utara. Bengkel berlangsung di Park Avenue Hotel, Sungai Petani bermula sejak kelmarin lagi. Semua PBT seluruh negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perlis telah hadir bengkel ini..  Saya mengambil keputusan menghadiri juga bengkel ini kerana saya menyedari saya kekurangan ilmu berkenaan hal ini walaupun sebelum ini saya terlibat juga dalam persiapan penarafan bintang untuk Majlis Bandaraya Alor Setar. Tapi itu lama punya. Indikator yang digunakan juga sudah lama. Sekarang sudah ada indikator baru yang telah dibuat penambahbaikan mengambil kira perkembangan semasa dalam aktiviti semua Pihak Berkuasa Tempatan..

Hari ini saya bertugas sebagai YDP di MDBB.. mungkin selepas ini saya kena bertugas di PBT lain pula. Jadi rasanya tidak ada ruginya saya mengikuti bengkel ini, walau terpaksa tinggal kerja yang agak banyak juga kat opis... ilmu yang ada itu boleh diguna juga bila bertugas di PBT lain.  Tapi bila saya hadhir bengkel ini.. hanya saya seorang sahaja YDP yang hadir. sayapun tak perasan bengkel ni dijemput YDP juga atau tidak, atau dijemput pegawai bawahan saja atau saya yang terhegeh-hegeh nak mai bengkel ini.. Apa-apapun kehadiran saya di bengkel ini amat dialu-alukan juga atas kapasiti satu-satu ketua PBT yang hadir .. Tu yang urusetia  suruh saya juga bagi sampai cenderamata pada penceramah tu.... Walaupun MDBB kecil sahaja tapi saya hantar juga 5 orang pegawai termasuk saya  untuk membolehkan mereka lebih memahami akan indikator yang akan dinilai nanti.


Salah satu cara kerajaan hendak mengenal pasti prestasi jabatan-jabatan yang ada ialah melalui Penarafan Bintang... Kalau satu bintang tu kira paling corot sekali... dan kalau 5 bintang tu memang terbaik sekali.. Melalui penilaian seperti ini baru diketahui akan status kualiti setiap jabatan-jabatan... Sanggupkan kita diberi taraf pejabat yang memperolehi 1 bintang sahaja.. Bagi saya tak gamak rasanya. Nampak sangat jabatan kita tu teramat terok sekali. Banyak aktiviti sepatutnya dilaksanakan tidak dilaksanakan oleh jabatan tersebut..  Dulunya kerajaan 'offer' mana-mana jabatan yang mahu masuk apa-apa pertandingan atau bukan pertandingan berkaitan kualiti seperti ISO, 5S , ISMS, indeks akauntabaliti kewangan, KMK  dan lain-lain pengiktirafan yang sesuai mengikuti kriteria yang ditetapkan. Yang mana ketua jabatannya proaktif.. depa mohon ambil bahagian.. Yang tak berapa aktif, buat tak kisah sahaja.. tak masuk atau tak ambil bahagian pun tak apa. begitulah adanya.

Namun sekarang ini, semua jabatan tidak terlepas untuk dinilai. Mahu atau tidak mahu Pasukan Penilai akan datang melawat setiap jabatan untuk dinilai. Jadi tidak dapat mengelak lagi. Kalau tidak buat apa-apa persediaan yang sesuai, maka rendahlah bintangnya.. Nak letak tang mana muka yang comey lote ni... diumumkan pula dalam media-media.. Sebenarnnya untuk persiapan penilaian penarafan bintang ini bukan sekadar nak dapat pengiktirafan bintang yang terbaik yang akhirnya kita syok sendiri... tapi ianya adalah untuk tujuan servis kita yang terbaik kepada pelanggan kita khususnya kepada rakyat jelata.  Itu yang ditekankan oleh Ybhg Dato' Harun Jasin, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan ) Negeri Kedah pada ucapan majlis  perasmian bengkel tersebut. Saya amat bersetuju dengan pandangannya itu.

Sebab itulah khusus bagi PBT , Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan  Kerajaan Tempatan (KKBPKT)  telah menyediakan senarai 345 indikator yang perlu ada dalam semua PBT. 345 Indikator ini telah diterangkan panjang lebar oleh Cik Dinesh Kaur A/P Karpal Singh dan En Mohamad Faizal b. Ahmad Zainal Abidin dari Bahagian Dasar dan Inspektorat KKBPKT. Kalau semua 345 indikator ini dipenuhi dengan fakta-fakta yang dapat dibuktikan , maka comfirm dapat 5 bintang.. Kalau dapat 5 bintang tu memang hebat sangat-sangat. Bolehkah jabatan saya yang kecil molek di MDBB mencapai bintang yang teramat  tinggi itu.. Insya Allah jika usaha berterusan dibuat oleh semua anak-anak buah dengan sokongan Ketua Jabatan, saya rasa ianya boleh menggapainya .. Usaha berterusan adalah amat penting. Jangan terhenti sekerat jalan... MDBB boleh.. untuk itu kita memerlukan banyak pengorbanan  samada pengorbanan tenaga, pengorbanan buah fikiran, pengorbanan masa, pengorbanan wang ringgit dan sebagainya... Kejayaan tidak akan datang begitu sahaja tanpa pengorbanan.

Antara Kriteria Besar yang boleh saya gariskan disini ialah...

Pengurusan (20 markah)
Perkhidmatan-Perkhidmatan Teras (Core) (40 markah)
Pengurusan Pelanggan (15 markah)
Penyertaan Komuniti dan Pandangan Penduduk (25 markah)

Dibawah Kriteria ini ada lagi Sub Kriteria serta Indikator yang lebih terperinci digariskan secara lebih detail untuk memudahkan semua PBT memahaminya dan mengambil tindakan sewajarnya. 

Ok.. sudah larut malam ... Letih tadi berkursus belum lega lagi.. Tapi takut idea-ideayang mai menyapa fikiran  hilang diangin lalu, saya paksakan diri juga untuk menulis dalam catatan blog ini. Inilah saja yang saya dapat tuliskan.. Jadi cukuplah setakat ini dulu...   Saya permisi dulu.. Besok saya nak sambung fasal KEBERSIHAN  pula... berkaitan Gotong Royong Perdana yang saya dan anak buah anjurkan minggu lepas....

Terima Kasih

Mohd Asri Redha....
Teratak Kasih


http://semangatjatimbas.blogspot.com/2014/01/tahniah-mbas-tetap-unggul-pelbagai.html



Tuesday, 19 May 2015

Management By Camera & Management By Wondering Around...

Catatan: Mohd Asri Redha
Tarikh : 18 Mei 2015
Tempat: Sekitar Daerah Bandar Baharu

Assalaamualaikum... WRT.
Buat sahabat-sahabat sekalian.. saya mendoakan semuanya sihat sepanjang masa. Malam ni terniat nak menyambung balik penulisan blog saya ini.. Malam ini free sikit. Dok kat Bandar Baharu ni.. malam-malam memang boring dok sorang-sorang kat sini.. Dok kat mana di Serdang, jangan tanya la.. kat mana-mana saya boleh duduk tidor.. Sengaja saya atorkan aktiviti saya kadang-kadang 'direct' sampai tiga hari 2 malam berturut-turut saya di  Serdang , jadi siang dan malam saya boleh buat kerja selesai apa yang patut.... Kalau tidak buat macam tu.. memang tidak sempat kerana, sebahagian besar masa banyak menghadhiri majlis2 rasmi, menghadiri mesyuarat, seminar dan sebagainya di Alor Setar dan lain-lain tempat luar daerah Bandar Baharu.. Maklumlah kena jaga 2 jabatan, iaitu Pejabat Tanah & Daerah Bandar  Baharu sebagai Pegawai Daerah dan Majlis Daerah Bandar Baharu sebagai Yang Di Pertua. Setakat sekarang ni tidak ada lagi saya satu minggu penuh berada di Bandar Baharu.. kerana dalam satu minggu tu pasti ada aktiviti seperti Mesyuarat dan Majlis-Majlis Rasmi yang perlu saya hadiri di luar daerah Bandar Baharu. Kalau dah keluar mesyuarat tu atau hadhiri apa2 majlis rasmi walaupun hanya satu jam sahaja, sudah tentu kira sehari la tak ada kat opis..  Nak buat lagu mana, dah duduk pun jauh.. lebih kurang 140 KM jauh.. nak memandu biasa-biasapun 2 jam .. jadi 4 jam ke 5 jam tu habis atas jalan raya sahaja... Dah memandu tu biasa lah. kadang-kadang terlalu letih boleh terlelap masa memandu, terpaksa singgah dulu kawasan rawat dan rehat lebuh raya.. Memang meletihkan.. tapi tidak mengapa biarlah keletihan itu kita jadikan sebagai kesukaan pula ... asalkan kita suka akan kerja kita .. itu sudah memadai.. segala keletihan menjadi seronok .....

Fakta Projek
Cadangan membina gabion di Sg Jejawi Kg Tengah Relau,
Mukim Relau. Kos RM147,889.70. Kontraktor : Al Muhalli
b. Mohamad. Tempoh siap 5 minggu. Progress: lebih 50%
Ok lah... nak cerita apa hari ini.. sepertimana tajuk cerita saya diatas , bagus juga cerita sikit fasal perkara ini.  Sengaja tulis tajuk dalam bahasa Inggeris, bukanlah saya ni pandai bahasa Inggeris, tapi syok bagi kelainan sikit... jangan marah ya pejuang bahasa.. Istilah ini saya ambil waktu zaman Tan Sri Sanusi Junid menjadi Menteri Besar Kedah dulu mulai tahun 1996 dulu. Beliau telah memperkenalkan 4 cara pengurusan iaitu Pengurusan Melalui Mesyuarat, Pengurusan Melalui Bercerita, Pengurusan Melalui Kamera dan Pengurusan Melalui Dengan Cara Melawat. Yang itu lah yang saya ingat pun.. Kesan dari cara pengurusan yang beliau sarankan itu sayapun tak nampak sangat kerana hanya sepenggal sahaja beliau jadi Menteri Besar...  tak apa lah.. hak yang baik saya ambil buat panduan saya.. apa salahnya kan..

Malang sedikit  saya dari segi mengambil pengalaman luar negara untuk cuba diperkenalkan dalam negeri. Ini adalah kerana saya amat kekurangan berkenaan pengalaman PengurusanMelalui Dengan Cara Melawat. Ya laa.... melawat dalam negeri ok la... tapi melawat luar negeri yang berkaitan dengan lawatan kerja .. Ini saya tak ada langsung. Sepanjang 30 tahun bekerja tidak pernah ditawarkan oleh Kerajaan Negeri  untuk melawat ke Projek-Projek Ekonomi dan Pembangunan yang berjaya di Luar Negara.. Maksudnya tak pernah melawat prgram-program pembangunan yang berjaya di diluar negara seperti di Jepun, Korea, Taiwan dan seumpamanya. Bila tengok dalam FB rakan-rakan pi melawat kilang-kilang berteknologi tinggi, lawat ke program pelupusan sampah yang canggih , melawat ke kilang-kilang yang berjaya, melawat kilang biotech, melawat projek-projek pertanian dan ekonomi yang berjaya seperti di Jepun dan Korea, melawat pusat pelancongan yang menarik dan macamana boleh belajar darinya, dan sebagainya..  Rasa teruja sangat nak pi tumpang sama, tapi apakan daya .. cukup sahajalah dengan lawatan-lawatan sosial . Kalau melawat pun hanya ke tempat-tempat yang menarik pelancongan sahaja. Tak lebih dari itu.. Kalau saya dapat melawat tempat-tempat seperti diatas banyak cerita saya boleh tulis yang boleh dijadikan panduan dan pengalaman untuk urusan kerja saya dan juga pengetahuan rakan-rakan blog saya.

Ok lah.. hari ini saya cerita fasal lawatan dalam daerah saya sahaja.. Kedua-dua jabatan saya terlibat juga dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan fizikal dan pembangunan sosial. Di Majlis Daerah Bandar Baharu dan Pejabat Daerah Baharu, dari segi peruntukan yang diterima tidaklah banyak sangat sepertimana di daerah-daerah lain yang besar. Namun begitu sikit atau banyak ,  pelaksanaan projek mesti dilaksanakan dengan cepat, cekap, berkualiti dan berintegriti, serta  memberi manfaat pada rakyat.. Sebab itu sejak saya dilantik sebagai ADO Kubang Pasu 25 tahun yang lalu  saya amat mementingkan perkara-perkara tersebut, terutama projek yang berkualiti. Pejabat Daerah Kubang Pasu pernah mendapat Anugerah Pengurusan Projek Terbaik di Antara Pejabat- Pejabat Daerah Seluruh Malaysia sewaktu saya sebagai Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Kubang Pasu .  Ianya terbawa-bawa hingga sekarang walaupun telah menjadi seorang Pegawai Daerah yang sepatutnya diserah saja pada CADO yang ada. Namun tidak ada salahnya saya juga ambil berat secara langsung akan pelaksanaan projek selagi saya masih punya waktu untuk melakukannya.

Fakta Projek
Kerja2 bina semula longkang dan menyiapkan longkang
U serta kerja berkaitan di Kg balai Lama ( A )
di Mukim Sg Kechil Ilir. Kos: RM44,760.00. 
Kemajuan: Lebih 50 %. 
Kontraktor: Rimba Mustika Trading
Petang tadi saya berkesempatan melawat beberapa projek yang dilaksanakan oleh Pejabat Daerah Bandar Baharu.. Tujuan lawatan hanya sekadar untuk melihat kemajuan pelaksanaan projek setelah ditawarkan projek beberapa minggu yang lalu dan meninjau apa-apa masalah yang berlaku ditapak dan dicari jalan penyelesaiannya.  Adakah masalah ditapak, adakah masalah dengan kontraktor atau  adakah masalah dengan pemimpin tempatan atau adakah masalah dengan penerima manafaat  projek itu sendiri. Sebab itu saya suka melawat sendiri dan bukannya banyak pun projek kat Bandar Baharu berbanding sewaktu saya menguruskan projek di Daerah Kota Setar dulu dengan nilai projek melebihi RM20 Juta untuk 3 kawasan Parlimen . Jumlah projek waktu itu lebih kurang 389 projek dengan 2 juruteknik sahaja. Waktu itu saya juga ADO Pentadbiran dan saya juga ADO Pembangunan. Memang banyak..  Itupun saya tidak ada masalah untuk melaksanakan dan siap mengikut tempoh yang diberi... Jadi kalau disini saya rasa, lekeh sangat la kalau tidak boleh laksanakan dengan lebih memuaskan lagi dan dengan lebih cepat lagi.

Fakta Projek
Bina semula longkang U serta kerja-kerja 
berkaitan di Kg Belakang Pekan,  Mukim
Sg Kechil Ilir .Kontraktor: Warisan ANH
Enterprise. Kos RM99,258.50. Kemajuan 
melebihi 50%

Bila kita melawat sendiri projek itu   baru kita boleh dapat gambaran sebenar tempat yang dirancang...  Ini akan menjadi ingatan kepada sesiapa yang merancang projek tersebut agar penerima projek yang dicadangkan itu benar-benar memerlukan projek tersebut tersebut dan tidak ada lagi yang lebih teruk dari tempat tersebut. Ini juga untuk mengelakkan projek-projek dirancang dan dibuat ditempat yang seseorang ada kepentingan walaupun tidaklah seterok manapun infrastruktur tersebut berbanding tempat lain.... Keutamaan yang sepatutnya tidak diberi. Begitu juga pemberian bantuan-bantuan ekonomi dan sosial yang diberi oleh kerajaan diberi kepada yang bukan sepatutnya, orang yang sepatutnya dapat , tidak mendapat, tapi yang dapat hanya orang tertentu sahaja yang mungkin ada kaitan tertentu..

Sebab itu saya amat menggalakkan anak-anak buah saya terutama pegawai-pegawai kanan melawat sendiri tengok tempat yang hendak dilaksanakan projek tertentu, jangan hanya mengharapkan surat-surat permohonan yang diterima dan terus buat priority. Jangan hanya bergantung sepenuhnya kepada anggota-anggota kerja lain. Pegawai kena turun ke padang. Bukan kerana kita tidak percaya pada pegawai bawahan kita atau tidak percaya pada kontraktor yang melaksanakan projek. Pengalaman saya membuktikan banyak sangat dah kes-kes yang tersasar dari objektif yang ditetapkan. Kita tidak mahu pada akhirnya apa yang dirancangkan oleh kerajaan tidak tercapai objektifnya. .  Peruntukan sudah banyak dikeluarkan tapi rakyat masih lagi tidak berpuas  hati.. Semasa perancangan lagi sudah dibuat semakan dan ditentukan prioriti. Jadi tidaklah timbul tohmahan yang mengatakan pihak kerajaan pilih kasih dalam pemberian bantuan ekonomi, sosial dan projek fizikal. Kekerapan melawat dan memeriksa juga akan menghasilkan kerja-kerja yang lebih berkualiti dan kontraktor atau pembekal tidak lah buat lebih kurang sahaja dan tidak mengikuti spesikasi yang ditetapkan.

Apabila telah dilaksanakan, kita perlu lebih kerap melawat projek-projek yang dilaksanakan untuk memastikan segala nya mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan berkualiti. Disamping menyelesaikan apa-apa isu yang berbangkit. Bagi saya sekali kontraktor membuat masalah , maka adalah tidak wajar ianya dipertimbangkan lagi apa-apa projek lain seterusnya. Inilah yang saya amalkan sejak dulu dan terbawa-bawa hingga sekarang. Jadi saya memang ambil berat perkara tersebut . Saya juga mengharapkan setiap kontraktor atau pembekal yang diberikan kerja dapat melaksanakannya dengan cepat, cekap, ikut spesifikasi, selesai ikut akujanji,, mematuhi arahan pegawai pengawal projek dan berintegriti.

http://semangatjatikarya.blogspot.com/2009/08/pelaksanaan-projek.html
Kalau berminat fasal pengurusan projek boleh layari  catatan saya diatas ni.... Klik sahaja kat situ

Oklah.. apa yang terlintas dalam fikiran berkenaan pengurusan projek ini telah saya godam punat-punat laptop ini menjadi ayat yang boleh difahami...  Cukuplah kot no.. mungkin catatan-catatan merapu saya ni boleh menjadi panduan sesiapa yang rasa berguna.. hanya sekadar catatan peristiwa biasa sahaja . Biarlah saya stop kat sini saja... mengantuk sangat nih... besok mau bangun awal untuk ke Pejabat Pembangunan Negeri Kedah di Anak Bukit,  dijemput nak bincang fasal satu projek fizikal besar juga kat Bandar Baharu ni... dengar kata dah lulus peruntukan... sama-samalah kita berdoa ianya menjadi kenyataan.. Terima kasih

Al Fatihah... aamiin


Asri Redha
Teratak Kasih

Pemasangan Gabion di Kg Sg Terap Dalam


Gabion Kg Terap Dalam yang
senget akibat aliran air laju masa
hujan lebat pada 09 Jun 15 lalu
 










Monday, 18 May 2015

Petikan Perutusan saya dalam Laman Web Majlis Daerah Bandar Baharu

Celoteh dari
Yang DiPertua
Majlis Daerah Bandar Baharu.

Assalaamualaikum WRT dan Selamat Sejahtera semua.
Apa khabar semua warga rakyat dalam jajahan takluk Majlis Daerah Bandar Baharu. Saya doakan semuanya sihat walafiat. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung Laman Web Majlis Daerah Bandar Baharu ini.

Apabila anda berminat mengikuti apa-apa maklumat dan cerita dalam Laman Web ini , bermakna anda mengambil berat fasal Majlis Daerah Bandar  Baharu.. Bagus ,  teruskanlah amalan begitu kerana kita menyajikan maklumat dan aktiviti-aktiviti MDBB terus kepada pembaca melalui Laman Web ini.

Terlebih dulu saya ingin memperkenalkan diri saya sebagai orang baru dalam pentadbiran Majlis Daerah Bandar Baharu. Nama saya seperti dibawah itu dan bertugas sebagai Yang Di Pertua Majlis Daerah Bandar Baharu. Tentunya banyak benda dan perkara yang saya kurang arif lagi dengan daerah ini.  Saya akan cuba belajar secepat mungkin kerana masa tidak menunggu kita.  Sesuatu perlu dibuat dalam menggerakkan organisasi MDBB kearah yang lebih cemerlang dan yang pentingnya dapat menambahkan pendapatan MDBB. Sudah tentu saya amat memerlukan kerjasama semua pihak termasuk anak-anak buah saya di MDBB, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan di daerah Bandar Baharu, kepimpinan politik tempatan, JKKK, JPP dan rakyat jelata sekalian.. Tanpa kerjasama semua pihak tidak mungkin usaha untuk membangunkan daerah Bandar Baharu yang terletak jauh di Selatan negeri Kedah ini akan tercapai.

Saya menyedari banyak halangan dan kekangan terutama dari segi kewangan, peralatan dan sumber manusia dalam merealisasikan harapan dan cita-cita penduduk tempatan. Harapan rakyat memang tinggi.. Tapi mampukah dipenuhi dengan segala kekangan yang ada ini. Ini merupakan satu  cabaran besar kepada Majlis Bandar Baharu untuk menghadapinya.

Ramai orang berfikir yang sumber kewangan MDBB disumbangkan oleh Kerajaan Negeri  dan Kerajaan Persekutuan. Ya memang benar sumbangan ada juga diterima oleh MDBB dari Kerajaan Negeri dan Persekutuan, tapi jumlah yang disumbangkan itu tidaklah sebesar mana. Jadi sumber utama MDBB masih lagi tertumpu kepada cukai taksiran, sewa gerai majlis, kutipan lesen perniagaan dan lain-lain yang tidak begitu banyak kutipannya... Majlis tidak boleh mengharapkan sepenuhnya bantuan dari Kerajaan Negeri kerana Kerajaan Negeri pun banyak komitmen yang perlu diberikan dan memerlukan peruntukan yang banyak bagi memenuhi janji-janji kepada rakyat. Begitu juga Kerajaan Persekutuan memang banyak membantu dan memberikan pelbagai projek pembangunan, tetapi tentunya tidak boleh bergantung sepenuhnya juga kerana pemberian itu tidak menentu.. Adakalanya banyak dan adakalanya berkurangan dari sebelumnya.

Jadi saya berharap rakyat bersabar jika tuntutan dan aduan yang dibuat tidak dapat dipenuhi sepertimana yang diharapkan... Semuanya bergantung sepenuhnya kepada kedudukan kewangan MDBB. Ruang punca untuk mendapatkan hasil agak terhad. Apa yang boleh ditumpukan ialah mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap pembayar-pembayar cukai taksiran yang masih lagi tertunggak dengan banyak dan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap tunggakan-tunggakan sewa premis MDBB yang agak tinggi juga. Disamping itu MDBB akan mempertingkatkan penguatkuasaan keatas premis2 perniagaan yg beroperasi tanpa lesen premis dari MDBB

Saya berharap pihak rakyat memahami akan hasrat MDBB ini kerana pembayaran cukai taksiran dan sewa premis MDBB adalah tanggongjawab rakyat berkaitan. Begitu juga sesiapa sahaja yang menjalankan perniagaan dan perusahaan di daerah ini perlu mengambil lesen premis perniagaan yang sesuai..

Semua hasil-hasil yang dikutip ini akan dipulangkan semula untuk kesejahteraan rakyat. Jadi saya mengharapkan semua pihak dapat memberikan kerjasama kepada tindakan-tindakan yang sedang dan akan diambil oleh MDBB.

Terima Kasih


Mohd Asri Redha b Abdul Rahman
Yang Di Pertua
Majlis Daerah Bandar Baharu

Thursday, 14 May 2015

Selamat Datang BOSS ....

Catatan: Mohd Asri Redha
Tarikh : 13 Mei 2015
Tempat: Pejabat Tanah Dan Daerah Bandar Baharu 




Produk Daerah Bandar Baharu

sebagai cenderamata kenangan
untuk dibawa pulang
Assalaamualaikum WRT .. buat sahabat-sahabat yang membaca blog saya ini... terima kasih juga kerana sudi baca celoteh-celoteh saya ni.. tak adalah berat-berat sangat.. santai-santai sahaja....
.
Hari ini sekadar cerita fasal aktiviti yang berlaku di pejabat saya saja.. Boss saya  YB. Dato' Jaya Budiman Dato' Paduka Hj Mohd Puat b. Mohd Ali.. Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah DA. datang ziarah saya di Pejabat Tanah dan Daerah Bandar Baharu..

Alhamdulillah.. mai juga bos saya kat daerah yang terpencil jauh ini... jauh tu nak mai .. lebih kurang 150 km dari Alor Setar... ambil
masa hampir-hampir 2 jam juga dalam keadaan biasa...

Pada masa yang sama diadakan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Daerah Seluruh Kedah.. Jadi ramailah kawan-kawan KCS datang mesyuarat ke sini.... Bolehlah saya dan anak-anak buah meraikan mereka semua yang datang ke sini. Semoga mereka semua selesa datang ke Daerah Bandar Baharu ini...  Macam biasa la .. anak-anak buah saya jamu tetamu kehormat ini dengan jamuan hidangan Udang Galah & Gulai Ikan Baung.. Memang menyelerakan..... itu saja cerita saya hari ini... santai kan....


Thursday, 7 May 2015

Elaun Yang DiTerima Biar Berbaloi Dengan Tugas dan Tanggongjawab Yang diAmanaH...

Ucapan Ku dalam Majlis Penyerahan Elaun Pengerusi & Setiausaha JKKK Daerah Bandar Baharu dan Kulim
Tarikh: 05 Mei 2015 (Selasa)
Tempat: Dewan Perpaduan. Pejabat Perpaduan  Daerah Kulim
Catatan dan sediaan draf ucapan: Mohd Asri Redha 
Fakta : Jumlah JKKK Dalam Daerah Bandar Baharu : 60 JKKK ..Mukim Bagan Samak : 16.  Mukim Relau : 4.  Mukim Sg Kechil Ilir: 3..  Mukim Serdang : 17. Mukim Selama : 9. Mukim Sg Batu : 11..  Elaun yang diterima: Pengerusi :RM800.00, Setiausaha :RM300.00 . Elaun Hadhir Mesyuarat AJK : RM50. Elaun Pengurusan Mesyuarat RM100. (sebulan)..

888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888

Assalaamualaikum WRT... 
Salam Sejahtera
Salam Kedah Aman Makmur
Salam Kedah  Serata-Rata

Alhamdulillah hirobbil aalaamiin...... (bacaan seterusnya ikut kesesuaian)

Terima kasih saudara pengacara Majlis..
Ybhg. Dato' Osman Md Aji Wakil kepada Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu
Wakil YB Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu..
Ybhg sahabat saya Tn Hj Arifuddin Timbalan Pengurus Besar KEDA... yang tidak putus-putus memikirkan bagaimana cara lagi untuk membantu penduduk luar bandar...
Ketua2 Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan,
Tuan Penghulu Azizi.. mewakili Dato Pegawai Daerah Kulim
Para pemimpin-pemimpin politik dan masyarakat tempatan, Pengerusi & Setiausaha JKKK Seluruh Daerah Bandar Baharu & seterusnya tuan2 & puan2 yang dirahmati Allah SWT sekalian..

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada urusetia majlis ini yang menjemput saya ke majlis ini & memberi kesempatan kepada saya untuk berucap sepatah dua kata dimajlis ini. Sebenarnya saya sudah melanggar daerah lain ini untuk program ini.. Sepatutnya Dato DO Kulim yang berucap dalam majlis ini kerana program Penyerahan Elaun JKKK ini diadakan di Dewan Perpaduan Kulim... Saya ingat Majlis Penyampaian Elaun ini hanya untuk Daerah Bandar Baharu sahaja.. rupa-rupanya masuk sekali Daerah Kulim.

Dato2 tuan2 dan puan2 sekalian.

Hari ini saya lihat begitu ramai yang hadhir ke majlis ini..terima kasih kerana saudara-saudara semua dapat meluangkan masa untuk datang ke majlis yang disusun atur ini... Mungkin fasal nak bagi elaun kut rasanya.. Itu yang ramai... Tapi saya harap bukanlah kerana tarikan itu sangat kut untuk datang sini... Untuk program-program lain yang akan diaturkan nanti oleh urusetia, saya harap komitmen yang serupa dapat diberikan kepada penganjur.. Barulah orang nampak akan kehebatan  Pengerusi dan Setiausaha JKKK ini. Kadang-kadang tu tak sampai surat jemputan pun boleh hadir. Hanya sekadar kelui sahaja pun dah memadai.. tapi kadang kala tu kita terlalu ber rasmi sangat kena ada surat jemputan mai rumah  baru boleh hadhir walau diketahui program itu untuk diri kita sendiri... Insya Allah.. kalau tidak ada aral melintang saya sedang mengatorkan satu Kursus Khas bertajuk ' SEMINAR PENGUKUHAN INTEGRITI PEMIMPIN MASYARAKAT PERINGKAT DAERAH BANDAR BAHARU' pada 21.05.2015.. diharap semua Pengerusi dan Setiausaha JKKK dapat melapangkan masa untuk menghadirinya yang dirangka khusus untuk saudara saudari semua.
Dato2, tuan2 & puan2 sekalian,

Dulu2 masa saya mula terlibat dengan JKKK , soal elaun-elaun tidaklah diberi perhatian sangat oleh kebanyakan Pengerusi dan Setiausaha JKKK.. Banyak yang sukarela sahaja untuk terlibat dalam kepimpinan kampong ini...  Namun komitmen mereka saya lihat tinggi juga dalam membangunkan kampong masing-masing...
Namun keadaan sudah berubah sesuai dengan perubahan semasa ..  Kerajaan menyedari untuk membolehkan sesebuah JKKK bergerak aktif, ia memerlukan komitmen yang sepenuhnya dari Pengerusi dan Setiausaha JKKK dengan dibantu oleh Ahli2 JKuasa masing-masing. Banyak  tenaga, masa  & wang ringgit terpaksa dikorbankan oleh kepimpinan JKKKK untuk membolehkan setiap JKKK itu beroperasi secara sepatutnya.
Sebab itulah Kerajaan tidak ragu-ragu untuk menyediakan sejumlah peruntukan yang besar kepada Pengerusi & Setiausaha JKKKK dalam bentuk Elaun Bulanan. Jadi tidak timbul lagi isu Pengerusi terpaksa membelanjakan wang sendiri untuk menggerakkan aktiviti JKKK dikampongnya.

Ini menunjukkan bahawa hasrat kerajaan begitu tinggi  untuk menjadikan kawasan luarbandar sebagai kawasan yang proaktif, maju, menarik dan menguntungkan akan tercapai dengan kerjasama serta komitmen semua pihak. Peranan tuan2 & puan2 semua amat penting dalam memastikan hasrat kerajaan itu menjadi kenyataan.
Saya rasa semua Pengerusi dan Setiausaha JKKK tahu akan peranan & tanggungjawab masing-masing.... saya hanya sekadar mengulangi akan peranan yang sepatutnya dimainkan.. JKKK adalah ejen pembangunan diperingkat akar umbi didalam sistem pentadbiran kerajaan, yang juga bertindak sbg penghubung diantara  agensi kerajaan dengan rakyat & bertanggungjawab menyebarkan maklumat berkaitan program-program kerajaan yang dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat. JKKK merupakan unit pelaksana dasar-dasar kerajaan diperingkat yang paling hampir dengan rakyat disamping menjadi ejen menyalurkan aspirasi rakyat kepada peringkat yang lebih tinggi.

Sebagai kumpulan yg paling hampir dengan masyarakat kampong, JKKK bertanggungjawab didalam mentadbirkan kampong & menjadi badan penggerak utama didalam menggembleng sumber tenaga , pembangunan, dan perubahan sikap masyarakat kampong ke arah membentuk warga desa yang berdaya maju & inovatif. ...

Besar & rumit juga tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Sebab itu kerajaan menyediakan elaun khusus kepada Pengerusi & Setiausaha JKKK. Pengerusi & Setiausaha JKKK tidak boleh lagi anggap jawatan yang dipegang itu sebagai hak ekslusif mereka.. Jawatan yang dipegang amat besar tanggungjawab.. maju mundur kampong terletak kepada kebijaksanaan Pengerusi & Setiausaha memimpin organisasi JKKK dikampong masing-masing.. Tuan-tuan akan dinilai setiap 2 tahun sekali.. Kalau kita tidak mampu lebih baik sahaja kita serahkan kepada yang lebih mampu. Jangan pula nanti kita dijatuhkan dengan keadaan yang tidak sepatutnya... Tuan2 & puan2 sedia termaklum akan perkara tersebut. 



Jadi oleh kerana sekarang saudara saudari semua sudah memegang jawatan tersebut, elok sangat diaturkan segera program & aktiviti yang memberi manfaat kepada anak-anak buah tuan puan dikampong.. Kalau tidak tuan puan akan dipersoalkan oleh anak-anak buah & pada masa yang sama kepimpinan negeri juga akan menilai akan prestasi tuan-tuan & puan-puan sekalian...

Sekiranya kita telah melaksanakan tanggungjawab dengan memuaskan, tidak ada sebab untuk anak-anak buah kita membenci kita dan akhirnya membuang kita begitu sahaja.. Apatah lagi sekarang ini saudara-saudari semua dibayar elaun yang agak lumayan juga.. Kita juga kena pandai ambil hati AJK-AJK yang dilantik, kerana mereka itu tidak dibayar elaun khas seperti saudara semua.. Cara mana nak ambil hati pandai-pandailah saudara saudari semua memikirkan cara yang terbaik.. Yang penting jangan beri mereka kata '' hang buatlah semuaa.. hang  dapat elaun. kami ni habuk pun  tak dak'.. tentu tak sedap kita dengar akan kata-kata tersebut kan.. Mungkin sebahagian elaun ni boleh diguna buat majlis-majlis makan atau apa-apa yang memberi manafaat anak buah kita di kampong.. yang penting setiap aktiviti yang kita buat memerlukan kerjasama semua pihak terutama AJK-AJK yang dilantik. Tidak mungkin kita dapat melaksanakan bersendirian akan setiap perancangan & aktiviti yang dilaksanakan...

Dalam dunia yang semakin canggih ini, kita juga memerlukan pelapis-pelapis yang mempunyai keupayaan mengendalikan organisasi JKKK dengan lebih proaktif, kreatif & agresif. Pengetahuan IT amat penting dalam menguruskan organisasi JKKK.. Untuk menyediakan Profil Kampong yang baru bulan lepas kita laksanakan kursus tersebut juga memerlukan pengetahuan IT yang agak baik... Kalau tidak kita tidak akan dapat menghambat arus kemajuan yang semakin cepat berkembang.  Anak-anak muda  yang ada dikampong perlu kita pupuk dan didik agar mereka menjadi pemuda yang berguna dikampong kita dan menjadi pelapis kepada kepimpinan tempatan

Saya mencadangkan juga supaya setiap JKKK perlu ada 'LAMAN WEB' sendiri atau sekurang-kurangnya ada BLOG KAMPONG' sendiri sebagai satu wadah memaparkan aktiviti-aktiviti kampong masing-masing dan memaparkan akan potensi-potensi yang ada dikampong masing-masing. Barulah orang tahu akan apa yang saudara-saudari buat dikampong tuan-tuan. Pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sendiri telah menyediakan satu ruangan khas untuk JKKK dalam Portal Kementerian yang dinamakakan jkkk online' yang mana tuan puan kena daftar JKKK tuan dalam portal tersebut. (  http://www.jkkkp.gov.my/  )

Ambil peluang ini untuk mengenengahkan informasi kampong tuan- puan agar lebih dikenali bukan setakat dalam daerah Bandar Baharu sahaja tetapi seluruh dunia boleh tahu kalau kita masukkan dalam laman web atau blog.. Banyak manafaatnya kalau kampong kita dikenali diserata dunia terutama kalau dikampong kita ada Potensi Pelancongan..

Saya juga mengambil kesempatan pada majlis ini untuk memaklumkan tentang projek sosial ekonomi yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri di Daerah Bandar Baharu iaitu Projek Rimbunan Kasih. Kerajaan sedang mencari 100 orang peserta untuk terlibat dalam projek ini . Mereka ini dikehendaki tinggal dalam kawasan projek dan bekerja sepenuh masa dalam sektor pertanian yang disediakan dalam projek ini. Saya memohon jasa baik Pengerusi dan Setiausaha JKKK Daerah Bandar Baharu untuk menghebahkan pemakluman ini kepada anak-anak buah. Sekiranya layak dan berminat borang permohonan boleh diambil di Pejabat Daerah Bandar Baharu bermula Ahad depan. Antara syarat am yang perlu ialah peserta tidak mempunyai rumah sendiri, mempunyai pendapatan dibawah RM2500 sebulan, berumur antara 22 tahun hingga 45 tahun, dan KIR wajib bekerja dalam program ekonomi yang disediakan. Projek ini adalah untuk memberi peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup peserta yang sebelum ini kurang berkemampuan dan tidak mempunyai pekerjaan yang menjamin masa depan. Rumah juga disediakan untuk peserta Rimbunan Kasih.

Akhir bicara, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih atas kerja buat tuan puan dalam membantu Pentadbiran Daerah Bandar Baharu melaksanakan segala program dan aktiviti daerah.... Insya Allah kerjasama ini perlu dikekalkan dan sama-samalah kita berganding bahu bagi membangunkan daerah Bandar Baharu menjadi sebuah Daerah yang maju dan dikenali ramai....

Sekian, Terima Kasih


disediakan :mohd asri redha


Thursday, 30 April 2015

Selamat Hari Ulang Tahun Kelahiran .... Ikatan Silaturrahim bertambah ErAT



Catatan: Mohd Asri Redha
Tarikh: 30 April 2015
Tempat : Majlis Daerah Bandar Baharu..


Saya doakan mereka semua ini sentiasa beroleh kesihatan yang baik
dipermudahkan segala urusan oleh Allah SWT, ditambahkan lagi
rezeki mereka dan diberi kebahagian berterusan... Al Fatihah.. aamiin
Assalaamualaikum WRT.. Buat sahabat ku yang amat mulia disisi Allah SWT dan selamat sejahtera semua... moga hari ini berterusan beroleh kebahagian hendaknya..



Lebih bahagia lagi bila ada sahabat-sahabat mengingati kita dengan mengadakan majlis ulang tahun kelahiran kita.... betul tak?... itu bermakna kita masih ada kawan-kawan sejati yang masih sayang dan ingat akan kita....

H ygari ini saya suka sangat bila dijemput oleh anak-anak buah untuk menghadiri majlis meraikan ulang tahun kelahiran beberapa orang anak buah saya di Majlis Daerah Bandar Baharu. Yang penting bukannya makan-makan sangat tetapi , ingatan tu...  Sekiranya sesama kita sentiasa memurahkan kasih sayang kita kepada sahabat-sahabat kita, Insya Allah aman bahagialah dunia ini.....  Sebab itu hidup kita kena ramaikan sahabat.. dan berbaik dengan semua kawan-kawan.. bukannya membanyakkan lagi musuh-musuh.. Tanamkan sifat kasih sayang sesama kita,... bukannya belanja duit ringgit  apapun untuk tunjukkan kasih sayang tu, tapi kesannya amat besar sekali kepada kebahagiaan diri kita.... Al Fatihan.. aamiin

 Gambar-gambar dibawah ini adalah sebahagian anggota yang diraikan sempena ulang tahun kelahiran mereka...... dan meraikan pelajar praktikal yang tamat latihan..




Tidak ketinggalan adik-adik yang mengikut latihan 
praktikal di MDBB diraikan bersama sempena 

tamat nya latihan praktikal mereka disini.. Moga

mereka beroleh kejayaan disegenap bidang..